SEARCH

Santhara sertai PPBM atas prinsip sendiri

07 Aug 2020 / 19:32 H.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Segamat Datuk Seri Dr Santhara Kumar menjelaskan beliau menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atas prinsip dan kerelaan dirinya sendiri.

Beliau turut menyifatkan faktor Bersatu yang lebih terbuka kepada semua kaum selain berteraskan Perlembagaan negara mendorongnya menyertai parti berkenaan.

“Saya terbuka hati tanpa tekanan atau paksaan dari mana-mana pihak, saya menyertai parti Bersatu dan saya telah mendapat restu daripada rakan-rakan perjuangan saya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Yang Berhormat Zuraida Kamarudin,“ katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Santhara turut mengesahkan beliau telah menyerahkan borang keahliannya kepada Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin di bangunan Parlimen pada 5.50 petang, semalam.

Mengulas lanjut, Santhara menegaskan bahawa beliau tidak keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), sebaliknya dipecat susulan prinsipnya ketika itu yang mempertahankan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Santhara kemudian menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri sebelum ini.

Santhara yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan berkata penyertaan itu menjadikan beliau ahli Parlimen bukan Bumiputera tunggal menjadi ahli bersekutu Bersatu dan berhasrat untuk meneruskan hak dan perjuangan membantu masyarakat India dan minoriti lain.

Selain Santhara, Ahli Parlimen yang turut dipecat daripada PKR sebelum ini ialah Mohamed Azmin (Gombak), Zuraida (Ampang), Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Kamaruddin Ja’afar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau). - Bernama

email blast