PONTIAN: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini, hari ini, selepas hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi.

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Pontian, PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Sawah, Pekan Nanas itu dibuka 8 pagi tadi bagi menempatkan 18 mangsa daripada tiga keluarga.

“Antara kawasan yang terjejas banjir ini melibatkan Jalan Kurnia dan Kampung Maju Jaya,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, di Batu Pahat, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gading masih dibuka sejak 14 Sept lepas yang menempatkan 44 mangsa daripada 11 keluarga.

Antara kawasan terlibat banjir di Batu Pahat ialah Taman Sri Panchor, Kampung Sengkuang, Kampung Baru Sri Gading, Kampung Seri Tanjung dan Pekan Seri Gading.

Sehingga 4 petang tadi, dua PPS dibuka di Johor melibatkan daerah Batu Pahat dan Pontian membabitkan 62 mangsa daripada 14 keluarga. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image