BUTTERWORTH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menahan dua lelaki yang disyaki terlibat penyelewengan diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak di Bagan, malam tadi.

Pengarah berkenaan S. Jegan berkata kedua-dua warga tempatan berusia 30-an itu sedang mengisi bahan api itu ke dalam dua buah lori yang diubah suai ketika ditahan sepasukan pegawai penguat kuasa menerusi Op Tiris 3.0 bermula 8 malam.

“Hasil pemeriksaan menemukan hampir 4,200 liter minyak disyaki diesel tersimpan dalam enam unit tangki bekas pukal perantaraan (IBC) dalam lori tersebut. Operasi turut menyita dua lori bonded dan empat set motor pam berserta hos paip,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata rampasan minyak diesel dianggarkan bernilai RM9,030.

Jegan berkata kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan pihaknya kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu atau syarikat terlibat dalam aktiviti atau rantaian pengedaran minyak diesel tersebut.