BACHOK: Seorang maut dan tiga lagi cedera selepas kereta yang dinaiki mereka merempuh pokok dalam kemalangan di Jalan Beris Lalang,di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bachok Supt Mohamad Ismail Jamaluddin berkata polis menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada pukul 9.15 malam tadi.

Katanya berdasarkan siasatan awal kenderaan yang dalam perjalanan dari arah Jelawat menghala ke Kampung Nering di Pasir Puteh, dipercayai hilang kawalan semasa mengambil selekoh tajam di Kampung Beris Lalang sehingga masuk ke laluan bertentangan, sebelum terbabas dan merempuh sebatang pokok.

“Akibat pelanggaran itu pemandu kenderaan meninggal dunia ditempat kejadian, manakala dua mengalami kecederaan parah dan seorang kanak-kanak mengalami kecederaan ringan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat dibawa ke Hospital Tengku Anis di Pasir Puteh untuk bedah siasat, dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,“ katanya. - Bernama