KUALA LUMPUR: Serangan dron dan peluru berpandu oleh Iran ke atas Israel pada awal Ahad (waktu Malaysia) bukan bermaksud untuk memusnahkan atau membunuh rakyat Israel, tetapi untuk menunjukkan Tehran mampu bertindak sendiri terhadap negara seterunya itu.

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Prof Dr Azmi Hassan ketika dihubungi Bernama berkata Tehran tidak bergantung kepada proksi seperti Hizbollah di Lubnan dalam melakukan sebarang gerakan terhadap Israel.

Tindakan Iran dikatakan berpunca daripada tindakan Israel menyerang kedutaannya di Damsyik, Syria yang membunuh tujuh pegawai kanan tenteranya yang dikatakan menjadi perantara penting bagi hubungan dengan Hizbollah.

Ditanya sama ada tindakan Iran yang telahpun diramalkan dari awal lagi oleh Israel dan sekutunya Amerika Syarikat (AS) akan menyebabkan perang lebih besar, Azmi menjawab ia bergantung kepada tindak balas Israel selepas ini.

Menurut beliau kesan serangan Iran ke atas Israel akan bergantung sama ada Israel menerima mesej Iran atau tidak. Namun beliau percaya dalam masa 24 jam ini akan digembar-gemburkan berita bahawa Israel berjaya mematahkan serangan Iran.

“Jadi dalam masa 24 jam ini kita tidak akan melihat kemusnahan besar-besaran ke atas Israel. Ini kerana peluru berpandu yang dilancar Iran boleh dipintas oleh sistem pertahanan udara Israel,” kata Azmi merujuk kepada mesej tersirat di sebalik serangan Tehran itu.

“Jika dalam masa 24 jam digembar-gemburkan Israel berjaya mematah serangan Iran, maka serangan balas balik ini akan berakhir di situ. Air muka Tel Aviv dan Tehran terpelihara.

Itu sudah cukup menggambarkan bahawa Israel menang dan tidak perlu tindakan lanjut seperti menyerang Iran. Israel dan AS juga tidak mahukan konflik seperti itu berlaku,” katanya.

Sementara itu Agensi Anadolu melaporkan letupan kedengaran di beberapa kawasan di Israel awal Ahad apabila pertahanan udara memintas dron dan misil yang dilacarkan dari Iran.

Siren roket dan letupan kuat kedengaran di selatan Israel, termasuk Eilat, Beersheba, Dimona, Nevatim dan kawasan-kawasan lain, lapor Agensi Anadolu yang memetik The Times of Israel.

Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) mengesahkan pada Sabtu pelancaran serangan dron dan misil ke atas Israel.

IRGC berkata serangan itu sebagai tindak balas terhadap “banyak sekali jenayah” dilakukan Israel, termasuk serangan ke atas Kedutaan Iran di Damsyik pada 1 April lepas, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 13 orang termasuk tujuh penasihat tentera.

Iran mendakwa serangan itu dilakukan Israel tetapi Tel Aviv tidak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu secara rasmi.

Perutusan Tetap Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York dalam hantarannya di laman X berkata tindakan ketenteraan Iran adalah tindak balas terhadap serangan rejim Zionis terhadap premis diplomatik Iran di Damsyik.

“Perkara itu boleh dianggap selesai. Bagaimanapun, sekiranya rejim Israel melakukan lagi kesilapan, Iran akan bertindak balas dengan lebih keras. Ini adalah konflik di antara Iran dan rejim Israel, yang mana Amerika Syarikat tidak perlu campur tangan, katanya.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres dalam satu kenyataan disiarkan dalam portal un.org mengutuk sekeras-kerasnya serangan itu dan menyeru supaya persengketaan itu dihentikan segera.

“Saya amat bimbang terhadap bahaya sebenar peningkatan konflik serantau ini. Saya menggesa semua pihak supaya bersabar dan mengelakkan daripada mengambil tindakan yang boleh membawa kepada konfrontasi ketenteraan di pelbagai perbatasan di Asia Barat.

Saya telah berulang kali menekankan dunia dan rantaunya tidak lagi mampu menghadapi peperangan,” kata Guterres.