MELAKA: Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Zaidi Johari meninggal dunia di Hospital Melaka di sini, pagi tadi.

Pejabat Ketua Menteri Melaka dalam kenyataan berkata Allahyarham Zaidi, 54, meninggal dunia di hospital berkenaan kira-kira pukul 8.15 pagi ketika menerima rawatan selepas rebah akibat serangan jantung di kediaman rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka di sini.

Menurut kenyataan itu Allahyarham yang dibawa ke Hospital Melaka dengan ambulans diberi bantuan pernafasan oleh pasukan paramedik, namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Jenazah telah dimandi dan dikafankan di Hospital Melaka kira-kira pukul 9.30 pagi sebelum dibawa ke Masjid Al-Azim untuk solat jenazah, dan kemudiannya dibawa ke kediamannya di Batu 22, Kampung Tebong di Alor Gajah.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tebong selepas Solat Jumaat.

Allahyarham Zaidi dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka ke-29 pada 5 Jan 2022 dan mula berkhidmat dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka pada tahun 2017 sebagai Pengarah Tanah dan Galian di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Melaka, dan seterusnya sebagai Pegawai Kewangan Negeri di Jabatan Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Melaka pada tahun 2020.

Allahyarham meninggalkan isteri Datin Siti Rohaya Kamalludin dan empat anak.

Sementara itu Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam kenyataannya berkata beliau mewakili pentadbiran kerajaan negeri menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Zaidi serta mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.

“Secara peribadi saya cukup terkesan dan amat berdukacita dengan berita ini.. Pemergiannya dalam waktu yang singkat merupakan suatu kehilangan besar kepada seluruh warga perkhidmatan awam khususnya di Melaka kerana jasa dan sumbangannya cukup besar kepada kerajaan negeri sepanjang perkhidmatan,” katanya.