KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pendang Datuk Awang Hashim dari Perikatan Nasional (PN) diarah keluar dan direhatkan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama dua hari bermula hari ini.

Perkara itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul selepas Awang beberapa kali melakukan cubaan untuk mencelah sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Rafizi bagaimanapun, tidak memberi laluan kepada Awang untuk mencelah sesi penggulungannya sehingga Johari terpaksa mengeluarkan arahan berkenaan.

“Saya rehatkan Pendang (Awang) untuk dua hari. Out now (Sila keluar sekarang),“ kata Johari.

Arahan Johari terhadap Awang menimbulkan suasana kecoh di blok kerajaan yang turut menggesa supaya Awang meninggalkan Dewan, namun beberapa Ahli Parlimen dari blok pembangkang antaranya Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) bangkit mempertahankan Awang.

Ahmad Marzuk bangkit mengemukakan Peraturan Mesyuarat kerana Rafizi menyebut ‘badut’ kepada Awang dan ia merupakan perkataan yang tidak layak diucapkan dalam Parlimen.

Rafizi mengakui menyebut ayat tersebut dan kemudiannya beliau diminta oleh Johari untuk menarik semula kenyataannya terhadap Awang.

“Saya tarik balik Pendang sebagai badut,“ kata Rafizi, seterusnya Johari tetap mengarahkan Awang untuk keluar dari sidang Dewan Rakyat.

Arahan Johari masih menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan blok pembangkang termasuk Ahmad Marzuk yang berasakan keputusan Speaker adalah tidak adil dan sepatutnya diberikan amaran kepada Awang terlebih dahulu.

“Saya kata kalau menteri tidak bagi masa dan tempat, Pendang jangan bangkit sebab menteri tak bagi dia bangkit juga. Saya bagi berkali-kali saya berkata satu dua, dia bangkit lagi.

“Saya dilihat tidak boleh mengawal Dewan kerana rakyat nak dengar apa yang kita bincang. Sebab itu, Pendang hari ini dan esok (direhatkan). Sila bangun,“ kata Johari.

Bagaimanapun, suasana persidangan berkenaan kembali kecoh kerana Awang enggan meninggalkan Dewan malah turut kedengaran beberapa Ahli Parlimen dari blok kerajaan menggesa supaya Awang keluar sehingga Johari terpaksa mengarahkan mereka berdiam.

“Diam semua. Pendang dengan segala hormatnya, I am asking you to (go) out (Saya minta kamu untuk keluar). Pendang keluar dua hari,“ kata Johari yang kemudiannya meminta Rafizi meneruskan sesi penggulungannya.

Awang akhirnya akur dengan arahan itu dan keluar meninggalkan Dewan Rakyat. - Bernama