GUA MUSANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka pejabat cawangan baharu di daerah Gua Musang sejak 2 Jan lepas dalam usaha memperluaskan akses orang ramai kepada perkhidmatannya.

SPRM dalam kenyataannya hari ini memaklumkan pembukaan cawangan di Aras 1, Bangunan Persekutuan Gua Musang itu bertujuan memudahkan masyarakat setempat berurusan dengan pihaknya.

“Majlis perasmian cawangan SPRM Gua Musang disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Datuk Sri Azam Baki hari ini.

“Pejabat berkeluasan 69 meter persegi ini dilengkapi dengan bilik ketua cawangan dan bilik merakam kenyataan, selain ruang kerja bagi menempatkan lima petugas SPRM,” menurut kenyataan itu.

SPRM mengalu-alukan orang ramai yang ingin menyalurkan sebarang maklumat berkaitan rasuah atau salah guna kuasa untuk hadir sendiri ke pejabat berkenaan atau menghubunginya dengan menelefon 09-9127623.