KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon maklumat terkini daripada pihak berkuasa Jerman mengenai dana bon 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dipercayai digunakan untuk membeli kereta mewah di negara itu pada 26 Okt 2022.

Ia berhubung laporan kereta mewah dirampas oleh pihak berkuasa Jerman di Munich yang dipercayai berkait dengan kes 1MDB.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata sebelum ini pihaknya sudah memulakan siasatan berhubung isu berkenaan sejak 2020.

Beliau berkata SPRM mengemukakan Permohonan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) ke Switzerland untuk mendapat maklumat tentang aset beku berkaitan kes 1MDB pada November 2020.

“Ini diikuti dengan mesyuarat dengan Pejabat Peguam Negara Switzerland (OAG) berkaitan 50 kereta mewah yang terbabit dalam siasatan 1MDB pada tahun 2021.

“Selanjutnya pada Mac 2022, satu mesyuarat dengan OAG telah diadakan di Switzerland untuk membincangkan kemajuan permohonan MLA dan mendapatkan maklumat lanjut,”katanya kepada Bernama hari ini.

Hari ini, media tempatan melaporkan polis Jerman merampas empat kereta model Bugatti Veyron yang jarang ditemui dari kemudahan simpanan persendirian di Munich, Jerman, yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, menurut laporan media di Berlin.

Kenderaan mewah yang dirampas dikelaskan di bawah siri eksklusif ‘Legends’ kereta hiper Bugatti, yang mana hanya 18 kereta dihasilkan di bawah siri itu.

Empat kenderaan itu ialah Rembrandt edisi Veyron, Black Bess, Jean-Pierre Wimille dan Meo Constantini. Setiap kereta berharga sekitar AS$3 juta (RM14.3 juta).