PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan seorang ahli perniagaan dan pemaju hartanah Singapura telah dipanggil untuk membantu dalam siasatan yang sedang dijalankan terhadap individu berprofil tinggi di negara ini.

Tanpa mendedahkan nama, SPRM memaklumkan ahli perniagaan itu juga telah diperintahkan untuk mengisytiharkan hartanya dan pegangan kewangan keluarganya.

“Saya boleh mengesahkan bahawa lebih ramai orang dijangka dipanggil untuk disoal siasat dalam masa terdekat berhubung siasatan ini,“ kata Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, portal berita CNA melaporkan SPRM menyiasat ahli perniagaan dan pemaju hartanah yang dikatakan terkait dengan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin.

Susulan itu, pihak berkuasa telah menahan ahli perniagaan dan pemaju hartanah itu serta menyoal siasat pada minggu lepas selepas menyerbu rumah serta premis perniagaan miliknya di Kuala Lumpur.

Pada 30 Dis tahun lepas, SPRM dalam kenyataan memaklumkan siasatan terhadap Daim berdasarkan maklumat Kertas Pandora sejak Februari tahun lepas.

Sebelum ini, isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas satu pertuduhan, gagal mematuhi notis SPRM dengan tidak mengisytiharkan 12 aset harta antaranya di ibu negara dan Pulau Pinang.

Susulan itu, Daim telah disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA). - Bernama