KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 11 individu disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan tembakau, arak dan rokok serta menyita lapan kenderaan mewah dianggarkan bernilai hampir RM6 juta didakwa milik mereka.

Menurut sumber, kesemua individu berkenaan berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun terdiri daripada penjawat awam, individu perantara dan tiga pemilik syarikat dengan dua daripadanya bergelar ‘Datuk’, yang ditahan dalam operasi khas di sekitar Lembah Klang sejak Isnin lepas.

Kenderaan mewah yang disita itu ialah dua Lamborghini, masing-masing satu Lexus, Mercedes-Benz, BMW, Volvo serta dua Toyota.

Sumber itu memaklumkan operasi terbabit dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Kenderaan-kenderaan itu disita daripada beberapa individu yang berjawatan sebagai pemilik syarikat serta orang tengah yang membuat bayaran wang sogokan kepada pegawai-pegawai di sebuah agensi penguat kuasa.

“Sindiket itu juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan ‘mencuci duit’ menggunakan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’ iaitu melalui pengurup wang dan syarikat pinjaman wang berlesen,” katanya.

Sumber itu berkata kegiatan penyeludupan sindiket terbabit dipercayai telah menyebabkan ketirisan hasil cukai yang dianggarkan lebih daripada RM400 juta serta melibatkan wang rasuah lebih RM8 juta kepada beberapa individu termasuk penjawat awam bagi melancarkan kegiatan penyeludupan.

“Sindiket ini dipercayai telah menggunakan modus operandi dengan menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol dengan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengarah AML SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan