JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pegawai atasan syarikat pembekalan air di negeri ini bagi membantu siasatan berkaitan menerima suapan.

Menurut sumber, kedua-dua lelaki berusia 36 dan 40 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Selangor kira-kira pukul 2 petang, semalam.

“Difahamkan siasatan bertindak atas beberapa aduan pada 2023, iaitu mereka menerima wang rasuah daripada pemilik dua syarikat kontraktor sebagai balasan membantu syarikat berkenaan memperoleh kerja-kerja perkhidmatan dan pembekalan, daripada syarikat pembekalan air tersebut.

“Kedua-dua mereka juga terlibat dengan kesalahan mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu berhubung permohonan sumbangan bagi sebuah program berjumlah RM3.3 juta, sedangkan program tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya,” menurut sumber.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Kedua-dua lelaki berkenaan telah dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi tadi dan Majistret Nurzihan Abdul Rehman membenarkan perintah reman selama sehari, pada hari ini.