ALOR SETAR: Tiga individu termasuk seorang pegawai kanan penguat kuasa direman enam hari bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai lebih RM1 juta, empat tahun lepas.

Perintah reman terhadap ketua sebuah pusat servis, pegawai kanan penguat kuasa dan pemilik sebuah syarikat berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan Majistret Siti Noor Hidayah Mohd Noor selepas permohonan dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, kesemua suspek disyaki bersubahat membuat tuntutan palsu bagi kerja-kerja penyelenggaraan kapal sebuah agensi penguat kuasa pada 2020.

Kesemua suspek ditahan kira-kira 8 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah di sini dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.