ALOR SETAR: Seorang lelaki maut manakala isteri dan anaknya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka dilanggar sebuah treler di Kilometer 16.5 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan dekat Jitra, semalam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Rodzi Abu Hassan berkata dalam kejadian kira-kira 10.50 malam itu, mangsa yang berusia 32 tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di seluruh badan manakala isterinya yang berusia 31 tahun dan anak lelaki yang berusia empat tahun, cedera parah.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku semasa treler yang dipandu lelaki berusia 48 tahun bersama seorang penumpang lelaki berusia 45 tahun manakala mangsa membonceng motosikal yang ditunggang isterinya sedang bergerak dari arah yang sama iaitu dari Changlun menghala ke Jitra.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, treler berkenaan telah memotong motosikal mangsa yang berada di hadapan dengan bergerak ke tengah jalan, namun sebelum selesai memotong, pemandu treler menyedari telah melanggar tayar belakang sebelah kiri motosikal sehingga menyebabkan mangsa, isteri dan anaknya jatuh,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Rodzi berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, di sini untuk proses bedah siasat manakala isteri dan anaknya menerima rawatan di Hospital Jitra.

Kedua-dua lelaki di dalam treler itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.