KUALA LUMPUR: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri serta menasihati seluruh rakyat, terutamanya rakyat di negeri itu, agar menyambut lebaran dengan penuh rasa syukur dan kegembiraan.

Turut menzahirkan ucapan itu adalah Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Al-Sultan Abdullah dalam perutusan sempena Aidilfitri 2024 bertitah agar setiap rakyat menitikberatkan aspek kesihatan dan memastikan ahli keluarga, khususnya anak-anak sentiasa dalam keadaan sihat ketika negara kini berdepan cuaca panas disebabkan fenomena El-Nino.

“Fenomena ini boleh menjejaskan kesihatan dengan berisiko mengalami dehidrasi dan strok haba. Oleh itu, suka saya menasihatkan kepada semua agar menjaga kesihatan di musim perayaan ini, meminum air secukupnya dan mengehadkan aktiviti di luar rumah,“ titah baginda dalam Facebook Kesultanan Pahang.

Pada masa sama, baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya 4 Briged yang sedang membantu memadam api dalam operasi di Penor dan di tempat-tempat yang lain.

Sementara itu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru seluruh umat Islam dan juga semua bangsa tidak mengira keturunan dan agama di negara ini agar terus mengukuhkan perpaduan dan menyemarakkan semangat muhibah antara satu sama lain.

“Beta berharap seluruh umat Islam terus mengekalkan hubungan silaturahim dan bermaaf-maafan, lebih-lebih lagi dengan suasana Syawal yang penuh dengan tradisi rumah terbuka dan kunjung mengunjung.

“Amalan ini mampu mempererat jalinan perpaduan,” titah baginda menerusi Selangor Royal Office

Baginda bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidifitri kepada seluruh umat Islam di Selangor.

Baginda turut meningatkan setiap lapisan masyarakat supaya sentiasa mengamalkan sifat mulia dalam tingkah laku dan mengelak menulis perkara yang menjurus kepada fitnah dan buruk sangka.

”Elakkan fitnah dan buruk sangka kerana apa sahaja yang kita lakukan adalah menjurus kepada ketakwaan kepada Allah SWT,”titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga menasihatkan orang ramai yang menempuh perjalanan pulang ke kampung halaman untuk berhati-hati semasa memandu dan sentiasa berwaspada ketika di jalan raya.

“Beta berdoa agar sambutan Hari Raya kali ini diraikan dalam suasana yang meriah dan penuh harmoni. Semoga Syawal yang menyusuli pemergian Ramadan ini dapat kita sambut dengan kegembiraan sejati,“ titah baginda.