MIRI: Seorang suri rumah kerugian RM31,700 selepas menjadi mangsa penipuan penjualan barangan terpakai dalam talian minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata mangsa berusia 60-an itu telah berminat untuk membeli barangan terpakai yang diiklankan melalui laman Facebook bulan lepas.

Mangsa kemudiannya dihubungi suspek pada 15 Mac lepas bagi urusan pembelian barangan berkenaan.

“Suspek menghantar pautan kepada mangsa untuk memuat turun aplikasi bagi pembayaran deposit barangan terbabit,” kata Alexson dalam satu kenyataan hari ini.

Tanpa memberikan butiran barang yang hendak dibeli itu, Alexson berkata mangsa cuba untuk log masuk ke aplikasi itu menggunakan nama pengguna dan kata laluan perbankan Internetnya tetapi gagal.

Selepas itu, mangsa mendapati wang dalam akaun banknya telah ditolak sebanyak RM31,700.

Mangsa membuat laporan polis pada Ahad dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan kerana menipu. - Bernama