KOTA BHARU: Suspek lelaki yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, ditahan reman tujuh hari bermula hari ini.

Mahkamah Majistret Kota Bharu mengeluarkan tahanan reman terhadap suspek berusia 38 tahun itu bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Sekyen 8 Akta Senjata 1960.

Perintah tahanan reman sehingga 22 April itu dikeluarkan Majistret Rais Imran Hamid.

Terdahulu suspek yang memakai baju lokap tiba di mahkamah pada 8.25 pagi dengan diiringi beberapa anggota polis.

Suspek ditahan di hadapan sebuah hospital swasta oleh Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kelantan.

Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan suspek yang terlibat dengan kejadian itu ditahan pada kira-kira pukul 3 petang semalam, di satu lokasi di Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi Ahad lepas, seorang lelaki melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena pengawal peribadi kepada isterinya.

Pengawal peribadi berkenaan kini dirawat di sebuah hospital dan berada dalam keadaan stabil.

Polis sebelum ini berusaha mengesan Hafizul Harawi, 38, bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Mohd Shuhaily berkata lelaki itu pergi ke hospital swasta berkenaan untuk mengambil laporan lengkap pemeriksaan kesihatan miliknya yang telah siap, sebelum ditahan.

Mengulas sama ada lelaki itu mempunyai rangkaian lain dalam kes tembak itu, Mohd Shuhaily berkata suspek bergerak secara bersendirian tanpa dibantu individu lain.

“Senjata api dimiliki suspek juga dipercayai diperoleh secara haram dari negara jiran, bagaimana kaedah suspek memperolehnya, kita akan siasat,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata pemeriksaan tahap kesihatan mental suspek didapati normal dan tindakan lelaki terbabit melepaskan tembakan ke arah isterinya, dirancang oleh suspek sendiri.

“Selepas suspek melepaskan tembakan di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), lelaki berkenaan tidak ke tempat lain atau tidak berjumpa dengan mana-mana individu untuk meminta bantuan, sebaliknya meneruskan perjalanan ke Kelantan,” katanya.

Beliau berkata seminggu sebelum kejadian tembak itu, suspek baru sahaja pulang dari Arab Saudi dan seterusnya ke Bangkok, Thailand dan masuk ke negara ini melalui Kelantan.

Sementara itu, polis turut merampas antaranya sepucuk pistol jenis Glock 19, satu kelopak mengandungi lapan butir peluru hidup di dalamnya dan sekotak mengandungi 24 butir peluru hidup, sebuah kereta Honda Civic, enam telefon bimbit pelbagai jenama, sejumlah mata wang asing Riyal dan Baht dan pasport.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan suspek terlibat dengan kejadian tersebut ditahan pada kira-kira 3 petang semalam, di satu lokasi di Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi pada Ahad lepas, seorang lelaki melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena pengawal peribadi kepada isterinya.

Pengawal peribadi berkenaan sedang dirawat di sebuah hospital dan berada dalam keadaan stabil.

Polis sebelum ini berusaha mengesan Hafizul Harawi, 38, bagi membantu siasatan kes berkenaan.