BUTTERWORTH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengingatkan kepada syarikat bas ekspres di negeri ini supaya menyediakan pemandu kedua untuk setiap perjalanan melebihi 300 kilometer (km) bagi menjamin keselamatan penumpang.

Pengarah JPJ negeri Zulkifly Ismail berkata peraturan itu turut diwajibkan bagi tempoh perjalanan melebihi empat jam dalam memastikan pemandu mendapat rehat secukupnya, sekali gus mengurangkan risiko berlakunya kemalangan terutamanya membabitkan kemalangan maut.

“Perjalanan jauh melebihi 300 km memerlukan pemandu kedua, tak boleh seorang (pemandu), tetapi banyak pengusaha syarikat bas yang gagal untuk menyediakannya.

“Alasan yang sering diberikan, pemandu kedua akan naik di terminal yang seterusnya untuk menggantikan pemandu pertama, bagaimanapun peraturan menetapkan bahawa dua pemandu diperlukan semasa memulakan perjalanan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melakukan pemeriksaan bas ekspres bersempena dengan Op Khas Perayaan Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 di Terminal Bas Penang Sentral di sini malam tadi.

Zulkifly berkata kegagalan menyediakan pemandu kedua merupakan satu kesalahan dan mana-mana syarikat yang didapati ingkar, tindakan akan diambil dengan melarang mereka daripada memulakan perjalanan sehingga peraturan itu dipatuhi.

Sementara itu, beliau berkata sepanjang tempoh operasi bermula 1 April hingga semalam, sebanyak 121 bas telah diperiksa dengan lima diambil tindakan kerana gagal menyediakan pemandu kedua.

Katanya, selain bas ekspres, operasi khas HRA itu turut menumpukan terhadap sembilan kesalahan utama yang sering dilakukan pengguna jalan raya iaitu tidak mematuhi had laju, isyarat lampu merah, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan dan memotong barisan.

Kesalahan lain ialah menggunakan telefon bimbit, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar, memandu kenderaan berat di lorong laju dan lebih muatan.

“Secara keseluruhan dalam tempoh empat hari penguatkuasaan, sebanyak 4,553 kenderaan telah diperiksa membabitkan 1,377 jumlah saman atas pelbagai kesalahan, selain mengambil tindakan terhadap 790 kenderaan, manakala 37 kenderaan turut disita,” katanya yang memaklumkan operasi itu akan berterusan hingga 20 April ini.

Zulkifly berkata sebanyak 98 anggota JPJ ditugaskan sepanjang tempoh musim perayaan ini untuk melaksanakan penguatkuasaan dengan turut dibantu agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).