NEW DELHI: Puluhan penerbangan Air India Express terganggu selepas ratusan kru kabin secara tiba-tiba melaporkan diri tidak sihat.

Tindakan itu telah menyebabkan kira-kira 80 penerbangan terjejas sejak Selasa, menurut laporan media tempatan.

“Sebahagian daripada kru kabin kami melaporkan diri tidak sihat pada saat akhir, bermula malam tadi, yang menyebabkan kelewatan dan pembatalan penerbangan.

“Ketika kami berinteraksi dengan kru untuk memahami sebab di sebalik kejadian ini, pasukan kami sedang berusaha menangani isu ini bagi mengurangkan ketidakselesaan yang dihadapi oleh penumpang kami,“ kata syarikat penerbangan tersebut dalam satu kenyataan pada Rabu.

Syarikat penerbangan tambang murah itu merupakan sebahagian daripada kumpulan Air India yang dimiliki oleh konglomerat Tata.