IPOH: Kadar tarif air di Perak naik lima sen setiap meter padu berkuat kuasa 1 Mei, yang pertama selepas 18 tahun.

Tarif baharu domestik ialah 75 sen setiap meter padu bagi penggunaan sehingga 20 meter padu sebulan berbanding 70 sen sebelum ini, manakala penggunaan 21 sehingga 35 meter padu sebulan pula ditetapkan pada kadar RM1.08 (RM1.03 sen sebelum ini) sementara kenaikan 5 sen juga bagi setiap meter padu bagi pengguna bukan domestik.

Pejabat Menteri Besar Perak dalam satu kenyataan memaklumkan bagi mengurangkan kesan perubahan tarif kepada pengguna domestik, Lembaga Air Perak (LAP) memberikan rebat pada kadar 40 sen setiap meter padu bagi penggunaan sehingga 10 meter padu pertama sebulan (bersamaan RM4.00 sebulan).

“Dengan rebat berkenaan, kadar purata tarif bagi penggunaan sehingga 20 meter padu itu, dapat dikurangkan kepada hanya 55 sen bagi setiap meter padu, berbanding 75 sen sekiranya tanpa rebat.

“Caj minimum bagi penggunaan domestik pula ialah RM7.50 sebelum mengambil kira pemberian rebat. Setelah mengambil kira rebat, caj minimum ialah RM3.50 berbanding kadar sekarang iaitu RM 3.00,” menurut kenyataan itu.

Pejabat Menteri Besar Perak turut memaklumkan bahawa penetapan tarif baharu berkenaan juga tidak menjejaskan program air percuma 25 meter padu sebulan untuk golongan sasar dan program air percuma 20 meter padu untuk rumah ibadat.

Menurut kenyataan itu walaupun dengan kenaikan 5 sen, penetapan tarif air baharu di Perak adalah masih jauh lebih rendah berbanding kadar purata kenaikan 22 sen yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan kali terakhir tarif itu naik ialah pada 2006.

“Kerajaan Negeri telah memutuskan supaya LAP memanfaatkan sebaiknya penetapan tarif baharu itu untuk meningkatkan kualiti perkhidmatannya termasuk menggantikan paip lama dan menambah baik aspek penyelenggaraan.

“Dalam hubungan itu, LAP memerlukan dana mencukupi bagi membiayai program penambahbaikan termasuk membina loji rawatan air khususnya di kawasan-kawasan pembangunan baharu,” katanya.

Beberapa negeri sebelum ini mengumumkan kadar baharu tarif air susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang meluluskan Perlaksanaan Pelarasan Kadar Bekalan Air untuk kategori domestik dan Pengenaan Caj Elektrik berkuatkuasa pada 1 Feb.