SEPANG: Polis telah mengambil keterangan daripada 11 saksi bagi membantu siasatan berhubung insiden tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 awal pagi semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata antara yang telah memberi keterangan ialah pengawal peribadi yang terkena tembakan, isteri suspek, pengawal keselamatan di lapangan terbang, anggota polis dan juga doktor yang memberikan rawatan.

“Kita akan panggil beberapa lagi saksi, (termasuk) yang terlibat dalam perniagaan, ahli keluarga (suspek dan mangsa) serta beberapa lagi individu yang boleh membantu siasatan,“ katanya kepada media selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah KLIA, di sini hari.

Beliau berkata polis sedang giat menjejak suspek dan percaya lelaki itu masih berada dalam negara.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi semalam seorang lelaki melepaskan dua das tembakan ke arah isterinya yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah di balai ketibaan KLIA Terminal 1, namun satu das tersasar dan satu lagi das terkena salah seorang pengawal peribadi kepada isteri suspek.

Susulan insiden itu pengawal peribadi berkenaan mengalami kecederaan di bahagian perut, dan kini dirawat di sebuah hospital.

Hussein berkata tiada penglibatan orang lain dalam insiden itu dan identiti suspek disahkan melalui keterangan saksi dan juga kamera litar tertutup (CCTV).