KUALA TERENGGANU: Terengganu menyasarkan 75 pingat emas pada kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) XXI (ke-21) di Sarawak yang akan berlangsung pada 17 hingga 25 Ogos ini.

Sasaran itu bagi membolehkan Terengganu membawa pulang kejuaraan SUKMA yang kali terakhir dirangkul pada 2018 di Perak.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata Terengganu akan menghantar 1,076 atlet dan pegawai bagi menghadapi temasya sukan terbesar nasional tersebut.

“Terengganu akan mengambil bahagian dalam 36 daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan. Kita memutuskan untuk tidak menyertai sukan bola keranjang atas beberapa faktor.

“Persiapan kini telah memasuki fasa akhir. Fokus akan diberi kepada memperbaiki semua kekurangan dan kelemahan selain memperkukuh aspek kerohanian bagi merampas kembali kejuaraan,“ katanya pada Majlis Perhimpunan Kontinjen SUKMA Terengganu 100 Hari Menjelang SUKMA XXI di sini, hari ini.

Pada majlis itu Ahmad Samsuri turut menyempurnakan penyampaian watikah pelantikan ketua kontinjen kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.

Beliau turut mengingatkan atlet supaya menjaga kesihatan dan keselamatan diri terutama ketika menjalani latihan berintensiti dan berimpak tinggi di luar negeri.

Pada SUKMA edisi lepas di Kuala Lumpur, Terengganu muncul naib johan dengan kutipan 64 emas, 49 perak dan 55 gangsa.