KUALA LUMPUR: Dua juta penganut agama Hindu dan pengunjung dijangka membanjiri Batu Caves, di sini sempena perayaan Thaipusam yang bakal disambut pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata dijangka berlaku kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan berkenaan pada hari ini hingga 6 Feb.

Beliau berkata perarakan Thaipusam akan bermula dari Jalan Tun H.S Lee, di sini pada 10 malam esok dan dijangka tiba di Batu Caves pada 3 petang Sabtu ini.

Menurutnya tujuh jalan di sekitar Batu Caves juga akan mula ditutup pada tengah malam ini hingga 8 Feb.

“Tujuh jalan yang ditutup adalah dari lampu isyarat Kampung Melayu Batu Caves, susur dari arah MRR2 ke Kuil Batu Caves, Jalan Batu Caves Lama ke pintu utama Kuil Batu Caves, simpang tiga lampu isyarat hadapan stesen minyak Shell, Batu Caves,” katanya dalam sidang media di Dewan Martek, di sini hari ini.

Selain itu, simpang tiga Jalan SBC 8/ Jalan Lama Batu Caves, susur MRR2 dari Sri Gombak menghala susur Jalan Perusahaan Batu Caves dan Jalan Perusahaan menghala ke Kuil Batu Caves.

Zainal Mohamed berkata penutupan jalan di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak itu adalah untuk memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang Thaipusam berlangsung.

“Laluan alternatif yang dicadangkan polis akan di kemas kini melalui platform media sosial Facebook IPD Gombak. Pengguna jalan raya dinasihatkan agar menggunakan jalan alternatif dan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai dalam kenyataan hari ini berkata pergerakan membawa pedati dari Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun H.S Lee ke Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves akan bermula 10 malam esok.

Beh berkata beberapa jalan turut dilencongkan pada Sabtu ini bermula 4 pagi hingga 10 pagi melibatkan Jalan Sultan Azlan Shah (kedua-dua hala) dari persimpangan lampu isyarat IPD Sentul ke lampu isvarat Jalan Perhentian.

Selain itu, pada 6 Feb bermula 6 petang hingga 12 tengah malam melibatkan Jalan Sultan Azlan Shah (kedua-dua hala) dari lampu isyarat Jalan Perhentian ke persimpangan lampu isyarat IPD Sentul.

Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan agar merancang perjalanan dan memilih laluan alternatif untuk mengelakkan daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas semasa penutupan dan lencongan jalan dilaksanakan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya dalam kenyataan hari ini berkata beberapa jalan akan dilencongkan bagi perarakan pedati sempena Thaipusam.

Beliau berkata jalan berkenaan akan dilencongkan bermula 10 malam esok hingga Sabtu ini pada 4 pagi.

Lencongan itu melibatkan Jalan Tun H.S Lee, Jalan Sultan, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Jalan Tun Perak/Pudu, Jalan Leboh Ampang, Jalan Ampang, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Raja Laut, Jalan Sri Amar, Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Tun Razak.

Selain itu, pada 6 Feb bermula 8 malam hingga 3 pagi (7 Feb) lencongan merangkumi Jalan Tun Razak, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Sri Amar, Jalan Raja Laut, Jalan Dang Wangi, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Ampang, Jalan Leboh Ampang, Jalan Tun Perak/Pudu, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Jalan Sultan dan Jalan Tun H.S Lee.

Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan agar merancang perjalanan dan memilih laluan alternatif serta mematuhi arahan pegawai polis yang bertugas di lokasi untuk mengelakkan daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas semasa penutupan dan lencongan jalan dilaksanakan.. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image