TEL AVIV: Tiga kedai roti di Bandar Gaza kembali beroperasi pada Ahad dengan bantuan Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut laporan saksi, ribuan orang hadir untuk membeli makanan sejurus selepas pengumuman dibuat bahawa roti akan dijual di kedai roti itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Serangan udara Israel telah memusnahkan banyak kedai roti di bandar itu dan menurut sumber Palestin, WFP kini telah membekalkan gas dan membaiki mesin membuat roti untuk membolehkan pembakaran roti disambung semula.

Pegawai Palestin berkata terdapat kira-kira 140 kedai roti di Semenanjung Gaza yang membekalkan majoriti penduduk dengan roti.

Israel berdepan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat untuk membenarkan lebih banyak bekalan bantuan kemanusiaan masuk ke semenanjung yang disekat itu. Pertubuhan bantuan menggambarkan situasi itu sebagai kritikal dan mengatakan lebih daripada sejuta orang berisiko mengalami kebuluran.

Lebih 33,000 orang terbunuh di Gaza sejak meletusnya perang pada 7 Okt lepas, menurut pegawai kesihatan di wilayah pimpinan Hamas.

Ketua Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) percaya bahawa kebuluran sudah berlaku di bahagian Semenanjung Gaza.

Klasifikasi rasmi sebagai kebuluran bermakna sekurang-kurangnya 20 peratus penduduk terjejas oleh kekurangan makanan yang melampau. Di samping itu, sekurang-kurangnya satu daripada tiga kanak-kanak mengalami malnutrisi akut. - Bernama, dpa