KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga lelaki dalam operasi di Brickfields semalam, bagi membantu siasatan kes pergaduhan melibatkan dua kumpulan di Jalan Radin Bagus, Sri Petaling Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata lelaki berusia antara 20 dan 41 tahun itu, ditahan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di Jalan Travers kira-kira 9 malam.

Video pergaduhan itu tular di laman sosial Isnin lepas. Video itu menunjukkan beberapa individu bergaduh dan merosakkan beberapa kereta menggunakan botol arak dan batang besi, di kawasan itu.

“Polis sedang mengesan beberapa suspek yang masih bebas dan menggesa mereka yang terlibat dalam video tular tersebut, untuk tampil dan membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Amihizam berkata ketiga-tiga lelaki terbabit direman empat hari bermula hari ini.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun, atau denda atau kedua-duanya. - Bernama