PUTRAJAYA: Penyedia platform dalam talian Tiktok dan META digesa meningkatkan usaha pemantauan, susulan peningkatan kandungan dalam talian yang memudaratkan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kenyataan bersama memaklumkan, perkara tersebut dipersetujui dalam mesyuarat bersama kedua-dua penyedia platform di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya semalam, yang dipengerusikan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Kenyataan itu memaklumkan mesyuarat berkenaan merupakan usaha bersepadu MCMC bersama pelbagai jabatan dan agensi penguatkuasaan bagi menangani penyebaran kandungan yang menyentuh sensitiviti 3R (agama, bangsa, institusi raja).

Penyedia platform turut diminta menangani kandungan berkaitan 3R secara efektif, dengan merujuk garis panduan platform dan undang-undang Malaysia.

“Selain itu, TikTok dan Meta digesa untuk membendung kandungan kelakuan tidak sahih tersusun, serta memantau dan mengambil tindakan segera ke atas kandungan memudaratkan, seperti penipuan serta perjudian haram dalam talian,” menurut kenyataan itu.

Berdasarkan statistik MCMC, terdapat peningkatan kandungan memudaratkan di media sosial dan platform Over The Top.

Bagi tiga bulan pertama tahun ini sahaja, sejumlah 51,638 kes telah dipanjangkan kepada penyedia platform dalam talian untuk tindakan lanjut.

“Jumlah ini adalah tinggi berbanding 42,904 kes kandungan direkodkan sepanjang tahun lalu,” menurut kenyataan bersama itu.

Sementara itu, perkara lain yang dibincangkan termasuk penambahbaikan terhadap keselamatan dalam talian, khususnya melakukan pengesahan umur minimum 13 tahun untuk mengakses platform media sosial.

Kenyataan itu memaklumkan perkara ini bagi memastikan kanak-kanak tidak terpengaruh dengan kandungan memudaratkan di media sosial.

Perkara lain yang dibincangkan ialah melihat semula kecekapan algoritma yang memacu Kecerdasan Buatan (AI) dan keupayaan pembelajaran mesin bagi mengesan kandungan 3R, kelakuan tidak sahih tersusun atau sebarang kandungan memudaratkan.

Menurut kenyataan itu, TikTok dan Meta juga telah disyaratkan untuk menyediakan pelan penambahbaikan dan strategi dengan butiran menyeluruh, sebagaimana dipersetujui dalam mesyuarat.

Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching; Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pengarah Keselamatan Negara Raja Datuk Nurshirwan Zainal Abidin.-Bernama