SINGAPURA: Sarapan pagi kegemaran rakyat Malaysia mencuri perhatian pengunjung di Malaysia Travel Escapade 2024 yang dianjurkan buat julung kalinya di Suntec City Mall di sini dari 12 hingga 14 April.

Aroma nasi lemak dan roti canai selain daripada bak kut teh menggunakan ayam, membangkitkan selera dan menarik minat pengunjung untuk mencuba sendiri cita rasa warisan kulinari Malaysia di dalam pameran pelancongan selama tiga hari itu.

Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Singapura Mohana Murni Shanmugam berkata budaya sarapan Malaysia dipilih untuk diketengahkan di pameran pelancongan ini sejajar dengan permohonan kerajaan untuk menyenaraikannya sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Kami rasa teruja untuk mengetengahkan budaya sarapan pagi Malaysia dan memberikan peluang kepada pengunjung kulinari tulen kegemaran Malaysia.

Kami percaya budaya sarapan pagi Malaysia adalah unik dan menjadi sebahagian daripada warisan negara, dan wajar diiktiraf dan dipromosi dalam persiapan menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026, katanya kepada Bernama di sini pada Sabtu.

Pengunjung juga berpeluang menyaksikan demostrasi pembuatan teh tarik secara langsung oleh Raja Teh Tarik Fakir Mohd Jamal Mohd dari Kedah yang mempamerkan kesenian dalam menghasilkan teh tarik yang merupakan minuman ikonik di Malaysia.

Mohana Murni berkata pada tahun ini Malaysia menyasarkan untuk menyambut ketibaan 27.3 juta pelancong antarabangsa dengan 10 juta daripadanya ialah dari Singapura, menjana perolehan sebanyak RM102.7 bilion menerusi pelancongan.

Beliau berkata pada tahun lepas Singapura merupakan sumber teratas pasaran pelancong ke Malaysia menyumbang sebanyak 8.3 juta ketibaan pelawat.

Dalam Tahun Melawat Malaysia 2026, sejumlah 35.6 juta pelancong disasarkan tiba dengan membawa unjuran perolehan sebanyak RM147.1 bilion, katanya.

Malaysia Travel Escapade 2024 juga menawarkan sedikit sebanyak gambaran kebudayaan Malaysia yang dinamik daripada pameran kraftangan tradisional dan produk termasuk lada hitam Sarawak, gula apong dan gula kelapa selain daripada perkhidmatan spa yang menyegarkan tubuh daripada kelesuan, ihsan daripada Persatuan Spa Malaysia (AMSPA).

Pengurus Spa Manja Roselyn berkata antara tawaran dalam pameran itu termasuk pakej dua jam bernilai S$48 untuk pelanggan spa itu yang berada di Johor Bahru.

“Pelanggan kami adalah 50:50 antara orang tempatan dan Singapura. Spa merupakan satu daripada tarikan utama untuk warga Singapura semasa mereka melawat Malaysia. Pameran ini memberikan peluang kepada kami untuk mempromosi produk kami dan pengalaman spa Malaysia kepada warga Singapura dan membantu meningkatkan pelancongan di Malaysia,” katanya.