SHAH ALAM: Tourism Selangor meningkatkan strategi promosinya dengan melaksanakan misi jualan di China pada Mac lepas selaras misi mencapai sasaran kehadiran tujuh juta pelancong sempena Tahun Melawat Selangor 2025.

Tourism Selangor dalam kenyataan memaklumkan misi jualan bermula 17 hingga 26 Mac yang diketuai Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Ng Suee Lim menyasarkan bandar Dalian, Shenyang, Changchun dan Harbin di China.

Menurut Tourism Selangor bandar-bandar berkenaan mempunyai gabungan populasi melebihi 25 juta yang menghimpunkan lebih 500 pembeli dan ejen pelancongan.

“Program ini menyediakan platform kepada pengusaha produk pelancongan dari Selangor untuk membentangkan tarikan pelancongan mereka sambil meneroka potensi pasaran yang lebih luas.

“Misi jualan ini dipertingkatkan lagi dengan kerjasama dengan beberapa badan pelancongan utama seperti Pertubuhan Jawatankuasa dan Pembangunan Pelancongan Dalian, Pejabat Hal Ehwal Luar Negeri Heilongjiang serta Biro Kebudayaan dan Pelancongan Perbandaran Xiamen,” menurut kenyataan itu.

Tourism Selangor memaklumkan bahawa jalinan kerjasama itu akan membuka peluang baharu bagi aktiviti promosi, termasuk familiarisation trip, pemasaran kandungan dan peluang perniagaan kepada sektor pelancongan tempatan, serta mengukuhkan lagi kedudukan Selangor dalam pasaran China.

Di samping itu, agensi berkenaan telah menjalin kerjasama dengan Tourism Malaysia Pangkalan Beijing dan Shanghai bagi menyasarkan lebih banyak kemasukan penerbangan terus dari China oleh Syarikat Penerbangan Malaysia dan Syarikat Penerbangan China antaranya Air China, China Eastern Airlines serta China Southern Airlines.

“Terkini sekitar 327 kekerapan penerbangan dijadualkan dalam seminggu antara Malaysia dan China,” menurut kenyataan itu.

Menurut Tourism Selangor, strategi yang dilakukan itu adalah rentetan kejayaan negeri itu menarik pelancong dari China dengan jumlah yang tinggi berbanding pasaran Asia Tenggara lain selama tiga tahun berturut-turut.

“Pada tahun lepas, Selangor telah menyaksikan kemasukan 352,001 pelancong dari China, iaitu lonjakan sebanyak 73 peratus berbanding 2022 dengan jumlah kemasukan pelancong sebanyak 203,615 orang,” menurut kenyataan itu.