KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu lebih ramai anak muda di Sabah diberikan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) bagi menampung permintaan tenaga mahir daripada pelabur asing atau domestik di negara ini.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata baru-baru ini, beliau ditawarkan oleh China untuk menghantar 2,000 pelajar Malaysia bagi mengikuti program TVET dengan biasiswa penuh ke negara berkenaan justeru beliau mahu memastikan 500 daripada tempat itu diisi oleh anak muda Sabah.

“Saya beri jaminan generasi muda di Sabah turut diberikan pendidikan TVET... ini juga bagi memastikan anak muda Sabah dilatih serta diberikan pekerjaan berdasarkan teknologi tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Umno Bahagian Putatan di sini malam Sabtu (April 20).

Turut hadir Setiausaha Umno Sabah Datuk Jafry Ariffin dan Ketua Bahagian Umno Putatan Jeffrey Nor Mohamed.

Ahmad Zahid juga berkata Sabah menerima RM11.34 bilion pelaburan tahun lepas, justeru potensi pelaburan yang besar perlu diterjemah kepada pembangunan ekonomi rakyat di negeri itu terutama bagi membuka ruang kepada lebih banyak peluang pekerjaan.

Beliau berkata GiatMARA adalah institusi TVET yang diberi kepercayaan untuk melaksanakan agenda meningkatkan kemahiran generasi muda dan setakat ini, terdapat 1,345 institut itu di Malaysia.