JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini menzahirkan keprihatinan baginda mengenai isu penderaan kanak-kanak, sekali gus menggesa agar agensi kerajaan dan pihak berkuasa yang terlibat untuk terus meningkatkan kesedaran awam mengenai isu berkenaan.

Baginda menzahirkan perkara itu ketika bersama isteri Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam berkenan berangkat melawat Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor Bahru di sini, hari ini.

Menerusi satu hantaran di Facebook rasmi baginda, Tunku Ismail bertitah Istana Johor dan kerajaan negeri akan memberikan sumbangan untuk menambah baik CIC dalam memperkasakan kekuatan pasukan polis D11.

Selain itu, baginda juga bertitah kedua-duanya akan turut menyediakan sebuah CIC di Ibu Pejabat Polis (IPD) Muar dan Iskandar Puteri bagi melancarkan usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan dan menyelesaikan kes-kes penderaan kanak-kanak di Johor.

“Saya juga ingin menggesa Kerajaan Negeri Johor untuk bekerjasama dengan PDRM, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan dengan garis panduan daripada Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) untuk melaksanakan pelbagai usaha bagi menambah baik prosedur operasi standard (SOP) dan prosedur yang ada serta meningkatkan kesedaran awam.

“Saya secara tegas berpandangan apa jua bentuk penderaan terhadap kanak-kanak adalah sesuatu yang tidak boleh dianggap ringan. Menjadi tanggungjawab semua bangsa Johor untuk memastikan keselamatan kanak-kanak di negeri ini,” titah baginda.

Turut serta dalam lawatan itu adalah Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor Khairin-Nisa Ismail serta Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Sementara itu, dalam hantaran di Facebook rasmi Menteri Besar Johor, Onn Hafiz berkata lawatan baginda dan isteri mencerminkan keprihatinan Tunku Mahkota Johor dan isteri mengenai isu penderaan kanak-kanak.

Beliau yang menjunjung titah Tunku Ismail akan bekerjasama dengan PDRM dan JKM bagi menambah baik SOP dan prosedur yang ada serta meningkatkan kesedaran awam mengenai isu penderaan kanak-kanak.

Sebagai langkah awal, kerajaan negeri juga telah bersetuju untuk memperuntukkan RM360,000 bagi baik pulih dan pembelian peralatan untuk CIC di IPK Johor Bahru selain menambah CIC di Muar bagi keperluan di utara Johor. - Bernama