MOSCOW: Kyiv memerlukan AS$10 bilion lagi bantuan kewangan antarabangsa daripada negara dan organisasi lain untuk menampung defisit belanjawan selain untuk memastikan pembangunan ekonomi yang stabil, lapor Sputnik memetik Timbalan Menteri Kewangan Ukraine, Olga Zykova.

“Kerajaan Ukraine kini memperoleh pengesahan pembiayaan daripada EU dan AS kira-kira AS$30 bilion untuk 2023. Namun masih ada keperluan untuk AS$10 bilion lagi. Kami mengharapkan bantuan daripada negara lain dan organisasi kewangan antarabangsa, khususnya IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa),“ menurut Zykova pada forum perniagaan antarabangsa di Luxembourg yang dikhususkan untuk Pemulihan Pantas Ukraine, dipetik oleh Kementerian Kewangan Ukraine.

Pegawai Ukraine itu berkata walaupun beberapa bidang perbelanjaan belanjawan telah dioptimumkan dan meningkatkan hasil cukai dan kastam, Kiev masih memerlukan bantuan kewangan bulanan yang signifikan kira-kira AS$3 bilion.

Awal minggu ini, pengerusi Jawatankuasa belanjawan parlimen Ukraine, Roksolana Pidlasa berkata kerajaan Ukraine berharap penderma Baratnya akan menjanjikan AS$10 bilion kemudahan kewangan pelbagai hala yang diketuai G7 pada mesyuarat Mac nanti untuk membantu negara itu menampung defisit bajet negara sebanyak kira-kira AS$38 bilion.

Minggu lepas, Perdana Menteri Ukraine Denys Shmyhal berkata negara G7 telah mewujudkan platform penyelarasan pelbagai penderma yang dipanggil Financial Ramstein.

Menurutnya platform itu akan beroperasi untuk tiga bidang utama iaitu sokongan jangka pendek dan jangka panjang yang berterusan ke Ukraine, pembiayaan antarabangsa dan penyelarasan pembaharuan, dan pembangunan sektor swasta. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image