SEARCH

Upko pecat Abidin sebagai naib presiden

31 Jul 2020 / 10:30 H.

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) memecat naib presidennya Datuk Abidin Madingkir berkuat kuasa serta-merta kerana didakwa terbabit bersama bekas ketua menteri Sabah Tan Sri Musa Aman untuk mengambil alih kerajaan negeri.

Menurut kenyataan parti itu di sini hari ini, keputusan memecat Abidin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, dibuat oleh Ahli Majlis Tertinggi UPKO yang bermesyuarat semalam.

“Abidin antara sekumpulan ADUN yang berpaling tadah untuk memberi sokongan kepada Musa bagi merampas kerajaan negeri.

“Bagaimanapun, usaha mereka gagal selepas Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam,“ menurut kenyataan itu.

Abidin hadir pada sidang media khas Rabu lepas di mana Musa mendakwa telah memperolehi majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan baharu dan menumpaskan kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Semalam, Mohd Shafie, yang juga Presiden Warisan, mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri. - Bernama

email blast