PUTRAJAYA: Warganet dinasihatkan agar sentiasa bersederhana ketika menyatakan sebarang sokongan atau sentimen dalam setiap kandungan yang dimuat naik di media sosial bagi mengelak timbulnya bibit-bibit kebencian, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Merujuk kepada kandungan media sosial berkaitan isu serangan terhadap pemain bola sepak kebangsaan, beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata langkah itu perlu sentiasa diamalkan bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini berlaku kepada pemain bola sepak di negara ini.

“Saya ingin memberi sedikit peringatan, saya harap kita sebagai peminat bola sepak tanah air jangan lakukan sebarang tindakan di luar daripada batas undang-undang. Kita nak tengok permainan yang baik dan tak nak apa-apa insiden tidak diingini berlaku termasuk kepada pemain bola sepak,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media semalam bahawa pihak polis sedang giat mengesan pemilik akaun media sosial yang didakwa menyebarkan kebencian, menyasarkan beberapa pemain bola sepak kebangsaan.

Semalam Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata hantaran media sosial itu didapati berbentuk serangan peribadi terhadap sasaran tertentu melibatkan pemain bola sepak dan tidak boleh dipandang ringan, kerana ia akan menerbitkan sikap kebencian yang berlebihan.

Baru-baru ini berlaku beberapa serangan terhadap pemain bola sepak kebangsaan sehingga menyebabkan kecederaan yang mungkin memberi kesan kepada prestasi pemain berkenaan.

Pada 2 Mei lepas pemain bola sepak kebangsaan Akhyar Rashid dilaporkan cedera selepas menjadi mangsa kejadian samun di Terengganu, dan pada 5 Mei pula seorang lagi pemain kebangsaan Faisal Halim mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali menyebabkan kecederaan pada badannya.

Semalam pula cermin kereta bekas ketua pasukan skuad bola sepak kebangsaan Safiq Rahim dipecahkan oleh individu tidak dikenali berhampiran pusat latihan Johor Darul Ta’zim (JDT), di Sri Gelam, Johor Bahru.