KUALA LUMPUR: Waris kepada dua mangsa tragedi kepala air Jeram Air Putih, Kemaman, Terengganu, layak menerima bantuan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

PERKESO dalam kenyataan hari ini memaklumkan waris kepada Allahyarham Karim Abdullah, 39, iaitu adiknya, Muhammad Firdaus akan menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000, di bawah Skim Keilatan mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

“Caruman Allahyarham Karim, yang sebelum ini berkhidmat sebagai pengendali jentera berat di sebuah syarikat pembalakan, melayakkan warisnya menerima faedah Pencen Penakat.

“Walau bagaimanapun, memandangkan isteri dan semua anaknya terkorban dalam kejadian kepala air tersebut serta ibu bapanya juga telah meninggal dunia, maka tiada lagi waris Allahyarham yang layak menerima Pencen Penakat tersebut,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, waris Allahyarham Muhammad Fikri Saliman, 24, juga layak menerima faedah FPM sebanyak RM2,000.

“PERKESO akan mendapatkan butiran waris dalam kadar segera bagi menyelesaikan bayaran faedah pengurusan jenazah,” menurut kenyataan itu.

PERKESO dalam kenyataan berkenaan turut merakamkan ucapan takziah kepada waris mangsa.

Dalam kejadian itu, 10 individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang dihanyutkan arus deras kepala air sewaktu berkelah di Jeram Air Putih pada 1 Julai (Sabtu).

Setakat ini, sembilan mangsa terkorban berjaya ditemukan menerusi operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilaksanakan dan kesemua mereka telah selamat dikebumikan.

Selain Karim dan Muhammad Fikri, mereka yang terkorban adalah isteri Karim, Azizah Eiyi, 40, serta anak mereka Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Putri Nurerina Natasya Karim,10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6; Putri Aryana Umaira Karim, 4; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; dan Putri Alleya Maisarah Karim,16, dalam tragedi menyayat hati itu.

Operasi SAR mangsa terakhir tragedi kepala air Jeram Air Putih, Putri Nor Fatin Karim, 14, masih diteruskan hari ini.-Bernama