PETALING JAYA: Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) akan menganjurkan Majlis Santapan Amal pada 9 Disember 2022, Jumaat di Hotel Le Meridien, Petaling Jaya. Ditubuhkan pada 1996, YSB meraikan sambutan ulangtahunnya yang ke-25 tahun pada Ogos 2021 namun disebabkan pandemik Covid-19, sambutan itu dilanjutkan sehingga akhir tahun 2022. KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al- Haj juga telah perkenan berangkat ke Majlis Santapan Amal 2022 Sempena Perayaan Jubli Perak Yayasan Sultanah Bahiyah.

Semua sumbangan yang diperoleh daripada Majlis Santapan Amal YSB akan digunakan untuk menampung perbelanjaan dalam setiap projek serta program kebajikan YSB sepanjang tahun yang memerlukan hampir RM750,000. Majlis ini juga secara tidak langsung mewujudkan peluang kepada para dermawan, syarikat-syarikat korporat serta lain-lain pihak untuk menyumbang dan membantu golongan yang kurang berkemampuan di sekitar Kedah termasuk di sekitar wilayah Utara.

Pengerusi YSB, Yang Teramat Mulia Dato' Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Tunku Temenggong Kedah berkata “YSB amat mengalu-alukan sumbangan oleh semua pihak untuk menyalurkan dana kepada golongan yang memerlukan.”

Majlis Santapan Amal YSB itu akan menampilkan beberapa artis tempatan seperti Sean Ghazi dan Ida Mariana diiringi oleh persembahan orkestra Datuk Haji Mokhzani Ismail beserta Kombo SeniUdara TUDM dan persembahan tarian oleh Istana Budaya. Meja dijual pada harga RM10,000 hingga RM100,000 dengan jangkaan 700 tetamu termasuk tetamu Diraja, para kenamaan dan korporat.

Orang ramai yang ingin turut menyumbang boleh menghubungi talian bimbit 016-4094590 (Cik Ain) atau 017- 435 3080 (Cik Akma).

Maklumat lanjut mengenai YSB, layari https://www.ysb.org.my/