SEREMBAN: Berkat mengulang kaji pelajaran bersama ibu bapa, dua pelajar cemerlang Sekolah Rendah Islam (SRI) Seremban menzahirkan rasa syukur meraih A dalam lapan mata pelajaran bagi peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2023 hari ini.

Berkongsi kejayaannya, Harith Amrullah Almuhaymin, 12, tidak menyangka memperoleh keputusan cemerlang itu berbanding mendapat 6A ketika peperiksaan percubaan.

“Saya sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dan mahu banggakan keluarga, Alhamdullilah saya berjaya mendapat keputusan cemerlang.

“Selain belajar di sekolah, ibu bapa banyak membantu dan meluangkan masa belajar bersama-sama ketika di rumah, ayah selalu nasihatkan supaya lebih yakin pada diri sendiri,“ katanya kepada pemberita.

Anak sulung daripada empat beradik itu juga berazam mahu belajar bersungguh-sungguh dan menjadi seorang doktor.

Nik Ufaira Nik Muhammad Hafiz yang turut meraih keputusan cemerlang 8A berkata sokongan daripada ibunya membantu dia meraih keputusan terbaik itu.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata ketegasan ustazah di sekolah juga mendorong dirinya menjadi lebih fokus dalam kelas.

“Terima kasih kepada ibu bapa serta para ustaz dan ustazah di sekolah ini yang banyak membantu saya untuk meraih keputusan cemerlang, saya tidak sangka dapat 8A sebab masa percubaan saya dapat 6A,“ katanya yang bercita-cita mahu menjadi seorang jurutera serta melanjutkan pelajaran di Korea Selatan suatu hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan yang hadir mengumumkan keputusan di sekolah berkenaan berkata seramai 27 pelajar Sekolah SRI Seremban dan 13 pelajar Sekolah SRI Seremban cawangan Nilai memperolehi 8A dalam peperiksaan UPKK.

Beliau berkata ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak dalam persediaan terbaik bagi menghadapi peperiksaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dilaporkan berkata seramai 28,531 daripada 230,587 calon menduduki UPKK 2023 berjaya mencatatkan keputusan cemerlang dengan memperolehi A dalam kesemua lapan mata pelajaran peperiksaan itu.

Mata pelajaran terbabit ialah Al-Quran, Ulum Syariah, Sirah, Adab, Jawi dan Khat, Lughatul Quran, Penghayatan Cara Hidup Islam serta Amali Solat.