GEORGE TOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menyangkal dakwaaan pengguna di negeri ini membayar lebih untuk perkhidmatan bekalan air disebabkan bil yang dikeluarkan secara dwibulanan.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP K. Pathmanathan dalam kenyataan berkata kadar yang dibayar oleh pengguna sebenarnya sama sahaja, sama ada bil itu dikeluarkan secara bulanan atau dwibulanan.

PBAPP katanya telah mengeluarkan sebahagian bil airnya secara dwibulanan sejak dikorporatkan pada 1 Mac 1999 iaitu lebih 25 tahun lepas dengan faktor utamanya adalah untuk kecekapan kos.

“PBAPP menjimatkan kos dengan mengeluarkan bil secara dwibulanan kerana bagi majoriti isi rumah Pulau Pinang, bil air adalah agak murah jika dibandingkan dengan bil elektrik, bil Astro untuk perkhidmatan TV satelit dan bil telefon bimbit untuk sebuah keluarga.

“Bil air dwibulanan PBAPP dikira dengan tepat mengikut peraturan Persekutuan, berdasarkan kepada meter padu (m3) sebulan, justeru, kadar air yang sama dikenakan dalam bil air bulanan dan dwibulanan di Pulau Pinang,” katanya.

Sebelum ini Parti Gerakan Pulau Pinang mendesak kerajaan negeri dan PBAPP memberikan penjelasan berhubung kadar tarif air baharu yang didakwa membebankan rakyat.

Ketua Biro Aduan Gerakan negeri Andrew Ooi dilaporkan berkata hal itu susulan pihaknya menerima lebih 50 aduan daripada penduduk setempat yang mendakwa kadar bil air mereka meningkat sehingga 150 peratus.

Sementara itu, Pathmanathan berkata kadar air yang dibilkan di negeri ini mengikut peraturan kerajaan Persekutuan yang diterbitkan pada 31 Januari lepas dan PBAPP sebagai operator bekalan air berlesen perlu mematuhi peraturan tersebut.

“Sejak 1 Februari lepas, PBAPP telah mengumumkan kadar air baharu untuk Pulau Pinang mengikut kategori penggunaan air tertentu.

“Purata kadar baharu untuk penggunaan domestik air sehingga 35 m3 sebulan ialah 86 sen bagi setiap m3 iaitu 1,000 liter dan caj minimum setiap bulan ialah RM6.20,” katanya.