MELAKA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun diselamatkan anggota bomba selepas terperangkap dalam kereta ibunya di Taman Lagenda, Melaka di sini hari ini.

Komander Operasi Penguasa Bomba Kanan I (KUP) Mohamad Ismail Harun berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada ibu mangsa pada 2.56 petang dan sepasukan bomba bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Melaka Tengah digerakkan ke lokasi kejadian.

“Bomba tiba di lokasi kejadian enam minit kemudian dan mengambil masa kira-kira lima minit untuk membuka pintu kereta jenis Honda Civic FD menggunakan peralatan khas dan mendapati kanak-kanak itu sedang tidur selain enjin kenderaan dalam keadaan hidup.

“Dipercayai kanak-kanak itu telah terkunci selama 20 minit selepas ibunya ke kedai berdekatan manakala orang awam yang berada di situ turut membantu namun gagal membuka pintu kereta berkenaan,“ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Ismail berkata ketika dikeluarkan dari kereta itu mangsa dalam keadaan sihat dan stabil sebelum diserahkan kepada ibunya.