GEORGE TOWN: Sebanyak 1,385 unit bubu naga bernilai RM207,750 telah dirampas Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang sejak Januari hingga September tahun ini, kata Pengarahnya Zarina Zainuddin.

Beliau berkata pihaknya mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menggunakan bubu naga di perairan negeri itu, kerana ia menyebabkan kerugian sumber memandangkan bubu tersebut turut memerangkap anak-anak ikan.

“Bubu naga ini jika terus dibiarkan (digunakan), ia akan menyebabkan kerugian dan memusnahkan sumber, benih dan anak-anak ikan, masa kita jumpa bubu-bubu naga ini (di perairan) kami mendapati ikan-ikan yang bernilai tinggi seperti ikan jenahak, ikan merah, terperangkap di dalamnya.

“Jika semua hasil laut itu dapat membiak ia dapat memberikan nilai yang tinggi kepada nelayan, kami tidak akan bertolak ansur terhadap isu pelanggaran peraturan dan perundangan, serta menyeru kepada semua nelayan atau mana-mana individu, untuk tidak melakukan kesalahan yang menyalahi Akta Perikanan 198 terutamanya apabila melibatkan aktiviti penangkapan ikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zarina berkata setakat ini, tiada tangkapan dibuat memandangkan pihak yang memasang bubu naga ini membiarkan bubu naga itu di kawasan laut tanpa pengawasan mereka dan hanya datang mengutipnya pada waktu-waktu tertentu.

Sementara itu, Zarina berkata perairan Pulau Pinang kini telah disahkan bebas daripada fenomena air pasang merah selepas sampel air yang diambil menunjukkan, tiada kehadiran plankton yang dikenali Dinoflagellate dan Noctiluca Scintillans.

Beliau berkata pihaknya telah mengambil sebanyk enam sampel air laut, sejak fenomena itu dilaporkan mula berlaku di Teluk Bahang dan Balik Pulau serta seterusnya Pulau Betong.

“Sampel air laut yang diambil dibuat analisis oleh kami bersama Institut Penyelidikan Perikanan Batu Maung dan mendapati, kandungan sel plankton Dinoflagellate dan Noctiluca Scintillans dalam sampel air yang diambil menunjukkan trend menurun.

“Analisis yang dijalankan pada Jumaat lepas dan semalam (Khamis) pula menunjukkan negatif sel Dinoflagellate dan Noctiluca Scintillans. Ini bermakna, kandungan air laut di kawasan terbabit bebas daripada plankton berkenaan dan dalam keadaan selamat,” katanya.

Beliau berkata kejadian itu tidak boleh dijangka, kerana ia kejadian semula jadi dan pihaknya memohon kepada sesiapa terutama nelayan, yang ternampak fenomena tersebut supaya segera melaporkan kepada Jabatan Perikanan Negeri untuk tindakan lanjut. -Bernama