KUALA LUMPUR: Kes baharu Covid-19 dalam negara terus merekodkan penurunan dengan 4,298 kes hari ini berbanding 4,896 semalam menjadikan kumulatif kes kini 2,658,772.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (pix) berkata daripada 4,298 kes itu, 4,275 adalah kes jangkitan tempatan manakala 23 lagi kes import.

“Daripada keseluruhan kes baharu itu, 75 kes atau 1.7 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 4,223 kes atau 98.3 peratus lagi melibatkan kategori satu dan dua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kategori satu dan dua merujuk kepada pesakit Covid-19 tidak bergejala serta bergejala ringan, manakala kategori tiga, empat dan lima pula ialah pesakit sama ada mengalami radang paru-paru, memerlukan bantuan oksigen dan alat bantuan pernafasan.

Bagi kes sembuh, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 4,929 kes dicatatkan menjadikan keseluruhan kes pulih kini adalah 2,566,159, manakala 471 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 264 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata sembilan kluster baharu dikesan hari ini dan jumlah kluster masih aktif adalah 233, selain nilai Rt (kadar kebolehjangkitan) di Malaysia setakat semalam adalah 0.97.

-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image