KUCHING: Kes harian baharu Covid-19 di Sarawak menunjukkan trend penurunan dengan hanya 286 jangkitan dicatatkan hari ini berbanding 424 semalam, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

JPBN dalam kenyataan hari ini memaklumkan sejumlah 199 kes atau 69.58 peratus daripada jumlah jangkitan hari ini dikesan di lima daerah iaitu Kuching, Subis, Miri, Sibu dan Bintulu.

Pada 16 April lepas, Sarawak mencatat kes harian tertinggi dengan 960 jangkitan dan hari ini, jumlahnya menyaksikan penurunan ke angka pangkal 200.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak hari ini mengisytiharkan satu kluster baharu iaitu Kluster Sungai Sengkabang di Subis yang terletak di Bahagian Miri.

Menurut JPBN, ia adalah kluster komuniti yang dikesan melibatkan dua rumah panjang di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sungai Sengkabang, Ulu Sebuti, Bekenu, Subis.

“Sejumlah 210 individu telah disaring dan 58 kes telah dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks, 126 kes didapati negatif dan 26 kes masih menunggu keputusan makmal,” menurut kenyataan itu.

JPBN juga memutuskan untuk melaksanakan PKPD di Bilik Sewa Atas Happy Cafe, Berjaya Commercial Centre, Bintulu yang bermula semalam hingga 18 Julai ini.

PKPD turut dilaksanakan di Rumah Panjang (Rh) Nugu, Kerubong Selalang di daerah Sarikei dan Rh Lidom, Nanga Enseluai di daerah Julau bermula hari ini hingga 22 Julai.

PKPD di Kampung Mambong, Kuching; Rh Anita, Balai Badak, Kampung Klampai dan Rh Abing, Lubuk Kerikap, Sebetan di Saratok pula akan bermula dari 7 hingga 20 Julai manakala PKPD di Rh Luing, Sungai Pama Gerugu Nyelong di Sarikei bermula 7 hingga 23 Julai.

Terdapat dua kematian baharu hari ini akibat jangkitan Covid-19 dilaporkan di Sarawak menjadikan jumlah korban meningkat kepada 421 orang.

-Bernama