SEREMBAN: Ibu bapa digalak membuat aduan sekiranya ada sekolah yang menganjurkan program atau aktiviti luar bilik darjah meskipun cuaca melebihi 35 darjah Celsius di kawasan terbabit, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata aduan boleh dibuat di Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan pihaknya menyantuni dan mengambil tindakan sewajarnya berhubung perkara itu.

“Sekiranya ada aduan, saya mohon dipanjangkan kepada SISPAA, kita akan ambil tindakan tapi yang penting aduan itu perlu dibuat secara rasmi supaya kita boleh siasat sepenuhnya sama ada ia benar-benar berasas atau tidak.

“Bagaimanapun, belum ada aduan diterima pihak kami mengenai perkara itu setakat ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kem Generasi MADANI (GenMADANI) Pemimpin Murid Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Peringkat Kebangsaan yang disertai 256 pelajar dari seluruh negara di sini hari ini.

Fadhlina berkata KPM juga sudah mengeluarkan garis panduan berkaitan cuaca panas yang perlu dipatuhi oleh semua pihak sepanjang masa.

“Saya tegaskan sekali lagi semua garis panduan itu perlu dipatuhi, pada masa sama kita rujuk juga Jabatan Meteorologi Malaysia dan Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa untuk kita dapatkan pedoman serta pandangan berkaitan isu cuaca panas ini,” katanya.

KPM sebelum ini menetapkan garis panduan berkaitan cuaca panas termasuk tiada sebarang aktiviti luar bilik darjah dilakukan apabila suhu mencecah 35 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata Jabatan Pendidikan Negeri dan sekolah di seluruh negara mempunyai kuasa autonomi untuk menangguhkan aktiviti luar bilik darjah termasuk merentas desa serta sukan jika suhu melebihi 35 darjah Celsius.

Sementara itu, Fadhlina berkata Kem GenMADANI yang diadakan selama empat hari bermula hari ini dirangka dengan pelbagai pengisian termasuk kepimpinan, demokrasi dan patriotisme sekali gus mampu melahirkan pelajar berpotensi menjadi pelapis pimpinan negara pada masa hadapan.

Beliau berkata respons pelajar terhadap program itu juga sangat baik dan mereka menunjukkan iltizam tinggi untuk melakukan perubahan besar bagi memperbaiki isu berkait rapat dengan disiplin serta persiapan sebagai pemimpin.

“Kita juga kongsi beberapa aspirasi bersama, respons sangat baik dan mereka sangat teruja untuk sertai program ini, insya-Allah kita akan teruskan program ini dari semasa ke semasa,“ katanya.