KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan merekodkan sejumlah 577 kes kebakaran dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding 257 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Pengarahnya Zainal Madasin (gambar) berkata ia melibatkan 339 kes kebakaran terbuka selebihnya kebakaran kediaman dan premis perniagaan.

Beliau berkata peningkatan lebih 50 peratus itu agak membimbangkan dan dikenal pasti susulan cuaca panas serta kemarau yang melanda negeri ini kira-kira dua bulan lepas.

“Setakat 25 Mac lepas direkodkan 244 kes kebakaran belukar diikuti kebakaran sampah 63 kes, hutan 23 kes, tanah gambut enam kes dan kebakaran kebun tiga kes.

“Kita telah kenal pasti terdapat 39 kawasan hotspot kebakaran terbuka melibatkan lapan kawasan di Bachok, 12 di Pasir Puteh, masing-masing enam di kawasan Pasir Mas, Kota Bharu dan Gua Musang dan satu kawasan di Tumpat,“ katanya kepada pemberita di Program Ops Siaga Raya Aidilfitri di sini hari ini.

Zainal berkata bomba Kelantan telah memulakan gerakan kempen keselamatan dan pencegahan kebakaran sejak awal lagi dengan turun padang menyantuni kumpulan sasaran dan komuniti, memberi khidmat nasihat keselamatan dan rondaan di hotspot tertentu di samping menguatkuasakan undang-undang.

Beliau berkata bomba turut menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar dalam melakukan pemadaman di lokasi kebakaran terbuka.

Sementara itu, beliau berkata terdapat 57 hotspot kemalangan akan difokuskan sepanjang Ops Siaga Raya bermula hari ini hingga 14 April, membabitkan 12 balai bomba di seluruh jajahan negeri ini termasuk jalan Gua Musang-Paloh, Gua Musang-Kuala Lipis, dan Jeli-Grik.

Terdapat 52 kes nahas jalan raya direkodkan sehingga 1 April lepas dengan 13 kematian dan 73 kecederaan.