KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan memaksa mana-mana syarikat yang memilih untuk tidak menyertai Dasar Gaji Progresif berikutan ia bersifat sukarela, kata Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib (gambar).

Beliau berkata dasar itu juga berteraskan insentif dan berkaitan dengan produktiviti.

“Kita melaksanakan satu rintisan (projek rintis) dan selepas itu, kita akan menilai dan menambah baik,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) mengenai nasib pekerja sekiranya syarikat memilih untuk tidak melaksanakan Dasar Gaji Progresif dan sama ada kementerian merancang untuk mengenakan kompaun atau denda bagi syarikat yang tidak melaksanakan dasar tersebut.

Hanifah Hajar berkata Dasar Gaji Progresif diperkenalkan untuk mereformasi struktur gaji pekerja Malaysia dan sebagai pelengkap kepada dasar-dasar sedia ada iaitu Dasar Gaji Minimum dan Sistem Upah yang dikaitkan dengan Produktiviti atau PLWS.

Katanya tujuan utama Dasar Gaji Progresif ialah meningkatkan gaji pekerja sektor swasta secara sistematik untuk membolehkan ekonomi negara maju ke rantaian nilai yang lebih tinggi.

Beliau berkata ia juga selaras dengan satu daripada 17 Anjakan Besar Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu, Ketersediaan Bakat Masa Hadapan.

“Seperti yang telah dimaklumkan pada Persidangan Parlimen Malaysia yang lepas, pelaksanaan Dasar Gaji Progresif akan dimulakan dengan projek rintis pada Jun hingga Ogos 2024.

“Penilaian impak projek rintis ini pula akan dilaksanakan pada September 2024 untuk memastikan ketersediaan dasar sebelum pelaksanaan Dasar Gaji Progresif secara menyeluruh diputuskan,” katanya.

Sehingga kini, katanya terdapat empat Jawatankuasa Kerja Pelaksanaan merentasi kementerian dan agensi telah ditubuhkan dan sedang melaksanakan gerak kerja untuk memperincikan mekanisme pelaksanaan Dasar Gaji Progresif.

Beliau berkata ia merangkumi Jawatankuasa Kerja Pembangunan Dasar, Jawatankuasa Pembangunan Sistem, Jawatankuasa Peningkatan Kemahiran dan Produktiviti serta Jawatankuasa Kerja Panduan Kenaikan Gaji Tahunan.-Bernama