KOTA KINABALU: Tindakan mendedahkan lapan daerah di Sabah berdepan dengan kemiskinan tegar dengan kadar yang lebih tinggi berbanding nasional adalah tindakan berani dan bertanggungjawab Kerajaan Perpaduan, persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.

Datuk Masiung Banah (GRS-Kuamut) berkata pendedahan itu tidak sepatutnya dilihat sebagai sesuatu yang negatif, sebaliknya memperlihatkan Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim komited dalam menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini.

Menurutnya, beliau tidak kecil hati atau marah apabila daerah tertinggi miskin tegar berada dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) tadbirannya iaitu daerah Tongod, malah gembira apabila kerajaan Persekutuan dan negeri masa ini berusaha keras membantu penduduk yang berdepan miskin tegar.

“Ini suatu endorsement apa yang saya katakan sejak saya ada dalam DUN ini pada 2008 hingga kini, kita minta kerajaan Persekutuan dan negeri ambil perhatian kerana daerah Tongod ini terpencil serta termundur di Malaysia, perlu diberi perhatian.

“Saya gembira kerana kerajaan berani umumkan dan ke depan selesaikan masalah ini, tabik hormat saya kepada Perdana Menteri (Anwar) kerana berani nyatakan apa yang nyata dan berani bersama Sabah cari jalan penyelesaian,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Ucapan Terima Kasih Kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin Atas Ucapan Dasar Kerajaan Negeri pada persidangan itu.

Pada 14 Mac lepas, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mendedahkan perkara itu dengan Tongod mencatat kadar kemiskinan tegar tertinggi 5.9 peratus, (Beluran 5 peratus), Pitas (4.8 peratus), Kinabatangan (4.6 peratus), Kota Marudu (4 peratus), Tuaran (2.6 peratus), Ranau dan Lahad Datu masing-masing 2.4 peratus.

Masiung berkata dalam pertukaran kerajaan, apa yang selalu berlaku adalah pemimpin baru dilantik akan berlumba-lumba membina mercu tanda dan bangunan pencakar langit bagi memperlihat kekuasaan mereka tanpa mereka sedar rakyat yang berada di bawahnya.

“Kerajaan Perpaduan masa ini belum ada mahu bina gedung besar, menara, bangunan pencakar langit tetapi apa menjadi keutamaan menoktahkan kemiskinan tegar. Ini betul mahu tolong rakyat, jangan dongak lihat pencakar langit sahaja rakyat di bawah langsung tidak nampak,” katanya.

Mengulas mengenai usaha menoktahkan kemiskinan tegar di Tongod, beliau berkata langkah pertama dan utama yang perlu dilakukan adalah memberikan infrastruktur asas yang lengkap terutama jalan raya, air dan elektrik kepada penduduk yang mampu menjadi pemangkin pembangunan ekonomi kawasan itu.

Memberikan contoh, beliau berkata ramai penduduk di kawasan itu adalah penanam kelapa sawit dan petani, maka dengan adanya jalan raya lengkap, hasil dapat dibawa keluar dengan cepat dan mudah seterusnya memberikan pendapatan cepat serta lebih kepada mereka.

“Bagaimanapun semua usaha ini memerlukan kestabilan politik, kerajaan negeri bawah Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor) sedang berusaha bantu rakyat. Lupakanlah sengketa politik kita supaya kita semua boleh duduk bersama majukan Sabah, jika tidak selamanya kita tidak dapat hapuskan miskin tegar,” katanya.