IPOH: Polis menerima laporan daripada seorang doktor lelaki yang bertugas di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini berhubung penyebaran surat layang di media sosial yang memburukkan namanya.

Ketua Polis Daerah Ipîh ACP Yahaya Hassan dalam kenyataan berkata lelaki berusia 43 tahun itu membuat laporan berkenaan semalam.

“Siasatan awal mendapati surat layang yang tersebar menuduh doktor lelaki itu dan beberapa staf yang lain melakukan perbuatan terkutuk khususnya terhadap doktor pelatih yang bekerja di Jabatan Ortopedik HRPB,“ katanya.

Yahaya berkata kes disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes ASP Fadli Ahmad di talian 019-2500019 untuk membantu siasatan pihak polis.

“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-sewenangnya mengeluarkan kenyataan berunsur khabar angin atau fitnah yang boleh menjejaskan kredibiliti seseorang,“ katanya.

Terdahulu Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata pihaknya menubuhkan Jawatankuasa Penyiasatan Bebas susulan dakwaan mengenai salah laku gangguan seksual serta ugutan membabitkan kakitangan HRPB.

Sebelum itu, tular surat layang yang dimuat naik di media sosial menerusi Facebook dan laman sosial X yang meraih perhatian warganet.

Surat itu mendakwa doktor tersebut sering mengganggu doktor pelatih wanita khususnya di Jabatan Ortopedik secara seksual dan mengugut untuk memanjangkan tempoh latihan mereka. -Bernama