PUTRAJAYA: Urbanisasi meningkat kepada 75.1 peratus pada tahun 2020 yang membawa kepada peningkatan kualiti hidup dan jangka hayat penduduk Malaysia, demikian menurut laporan Menelusuri Statistik Sosial Malaysia (MSSM) Edisi 2023 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin (gambar) berkata Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang membangun, mengalami proses perbandaran yang pesat dalam tempoh tiga dekad lepas.

“Penduduk bandar di Malaysia hanya 28.4 peratus pada tahun 1970, meningkat kepada 50.7 peratus pada tahun 1991 dan mencecah 75.1 peratus pada tahun 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Laporan MSSM merupakan edisi kedua diterbitkan oleh DOSM yang memaparkan senario sosial negara seawal tahun 1970 hingga 2023.

Penerbitan kali ini memfokuskan 11 topik iaitu penduduk dan demografi; indeks harga pengguna; guna tenaga; kesihatan; pengangkutan; pendapatan dan perbelanjaan isi rumah; internet dan media sosial; alam sekitar; pelancongan; Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI).

Beliau berkata dari segi kependudukan, pada tahun 1970 penduduk Malaysia ialah 10.4 juta, meningkat kepada 27.5 juta pada tahun 2010, dan pada 2020 bilangan penduduk direkodkan adalah 32.4 juta iaitu peningkatan tiga kali ganda berbanding 1970.

“Bagaimanapun pertumbuhan penduduk pada tahun 2020 adalah lebih perlahan dengan kadar pertumbuhan purata tahunan 1.7 peratus berbanding 3.9 peratus pada tahun 1970,” katanya.

Transisi demografi Malaysia dipengaruhi oleh empat faktor yang memberikan kesan kepada pertumbuhan penduduk serta perubahan populasi di Malaysia sejak tahun 1970 hingga 2040 iaitu kadar kesuburan, kadar kematian (jangka hayat), struktur umur (agihan antara umur muda dan tua) dan migrasi.

Mohd Uzir berkata jangka hayat bagi seorang bayi yang lahir pada tahun 1970 secara purata dijangka hidup sehingga 63.6 tahun dan meningkat kepada 74.8 tahun bagi bayi yang baru lahir pada 2023.

Bagi perbandingan antara jantina, secara puratanya bayi perempuan dijangka hidup lebih lama berbanding bayi lelaki dengan peningkatan jangka hayat 11.8 tahun berbanding lelaki 10.9 tahun bagi tempoh tahun 1970 sehingga 2023.

“Ini bermakna seorang bayi perempuan yang baru lahir pada tahun 2023 secara purata dijangka boleh hidup sehingga 77.4 tahun, manakala bayi lelaki dijangka boleh hidup sehingga 72.5 tahun,” katanya.

Melihat kepada guna tenaga pula, bilangan tenaga buruh di Malaysia merekodkan peningkatan purata 2.7 peratus setahun daripada 12.3 juta orang pada tahun 2010 kepada 16.0 juta orang pada tahun 2022.

Mohd Uzir berkata peratus penduduk bekerja pada tahun 2010 ialah 61.6 peratus dan meningkat kepada 65.3 peratus pada tahun 2020, 2021 (65.4 peratus) dan 2022 (66.5 peratus).

Dalam bidang kesihatan pula bilangan hospital kerajaan menunjukkan trend peningkatan dari tahun 2010 hingga 2022, iaitu dari 131 kepada 160 hospital, manakala bilangan hospital swasta meningkat sedikit kepada 257 berbanding 254 hospital pada tahun 2010.

Nisbah doktor kepada penduduk di Malaysia bertambah baik dalam tempoh tahun 2010 sehingga 2022 daripada 1:859 pada tahun 2010 kepada 1:412 pada tahun 2022. -Bernama