KUALA LUMPUR: Kadar jangkitan penyakit sifilis menurun daripada 11 peratus kepada 6.5 peratus selepas enam bulan dan 1.3 peratus selepas 12 bulan penggunaan ubat Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) berdasarkan analisis awal Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata analisis itu dijalankan ke atas 3,451 individu yang telah menerima ubat tersebut melalui program rintis pemberian PrEP bagi pencegahan HIV, setakat 11 Jan lepas.

Beliau berkata peratus klien yang sentiasa menggunakan kondom ketika melakukan aktiviti seksual juga meningkat daripada 30 peratus kepada 38.6 peratus selepas enam bulan dan 44 peratus selepas 12 bulan penggunaan PrEP.

“Hasil dapatan awal kajian ini menunjukkan bahawa klien yang mengambil PrEP mematuhi dan mengamalkan nasihat pencegahan jangkitan HIV melalui penggunaan kondom secara konsisten dan perubahan tingkah laku yang lebih baik, walaupun sedang menggunakan PrEP,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) yang ingin tahu status terkini program perintis pemberian PrEP kepada individu yang mempunyai pasangan HIV positif, terutama yang mengamalkan seks bebas dan seks songsang dalam keadaan belum ada keputusan daripada pihak Majlis Hal Ehwal Agama Islam Malaysia atau Jawatankuasa Fatwa.

Mengulas lanjut Dr Dzulkefly berkata peratus klien yang mempunyai hanya satu pasangan seksual (monogami) juga meningkat daripada 7.2 peratus kepada 19.4 peratus selepas 6 bulan dan 29.6 peratus selepas 12 bulan penggunaan PrEP, manakala 51 klien telah berhenti menggunakan PrEP kerana tidak lagi melakukan aktiviti seksual yang berisiko.

Beliau berkata program rintis pemberian ubat PrEP yang dimulakan pada Januari 2023 di 18 Klinik Kesihatan itu telah diperluaskan kepada tiga klinik lagi pada pertengahan 2023, menjadikan 21 klinik setakat tahun lepas.

Menurutnya program itu akan diperluas kepada 10 klinik lagi pada tahun ini menjadikan keseluruhan 31 Klinik Kesihatan yang terlibat dalam Program PrEP di seluruh negara.

Dr Dzulkefly berkata Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis pada 23 dan 24 Julai lepas telah mengeluarkan fatwa hukum harus bagi pengamal perubatan memberikan PrEP untuk mencegah penularan HIV.

“Meskipun kita tidak merestui sifat songsang (seks bebas dan seks songsang), dari segi keutamaan menjaga nyawa dan akal ia satu keperluan,” katanya. -Bernama