KUALA LUMPUR: Dua lelaki ditahan kerana disyaki mencuri sebuah lori tangki minyak jenis Scania bernilai RM130,000 di kawasan Puchong Prima, Puchong di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat (gambar) berkata kedua-dua suspek berumur 40-an dan 20-an itu ditahan di kawasan berkenaan pada 12 tengah hari.

Beliau berkata hasil soal siasat terhadap suspek membawa kepada penemuan semula lori tangki terbabit yang disembunyikan di Klang, Selangor.

“Soal siasat lanjut mendapati suspek merupakan bekas pekerja syarikat lori berkenaan dan telah menggunakan kunci pendua untuk mencuri kenderaan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Azlan berkata kedua-dua suspek direman tiga hari hingga Ahad ini dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan (Akta 574).

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes jenayah diminta tampil menyalurkan maklumat di nombor 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah, Subang Jaya) dan segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya. -Bernama