SANDAKAN: Polis menahan dua lelaki semalam dipercayai terlibat dalam kegiatan mengugut peminjam wang untuk menuntut bayaran hutang dengan mengunci pagar rumah dan menyimbah cat merah di daerah ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan Supt Mohd Hamizi Halim berkata kedua-duanya yang berusia 19 dan 35 tahun ditahan di Taman Sejati, di sini susulan aduan daripada seorang mangsa yang mendakwa pintu pagar rumahnya dikunci serta disimbah cat merah di Taman Bahagia, di sini disyaki perbuatan khianat pada 16 Mei lepas.

“Hasil siasatan mendapati kejadian disyaki dilakukan oleh pemberi pinjaman wang (along) yang mahu menuntut hutang daripada mangsa.

“Pemberi pinjaman wang itu telah mengupah suspek untuk melakukan jenayah ini. Suspek mula beroperasi sejak akhir tahun lepas dengan menumpukan mangsa di sekitar Sandakan dan Lahad Datu,“ katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd Hamizi berkata semakan rekod jenayah mendapati suspek berusia 35 tahun berkenaan memiliki lima rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Beliau berkata kedua-duanya direman hingga Ahad ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Dengan kejayaan tangkapan tersebut, polis percaya berjaya menyelesaikan lima kes dipercayai dilakukan oleh suspek di Sandakan,“ katanya. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image